Tuesday, August 31, 2010

Selamat Hari Kemerdekaan ke - 53



Selamat menyambut Hari kemerdekaan ke - 53 dengan tema " 1Malaysia Menjana Transformasi" . Syukur ke hadrat Ilahi kerana dalam sedar tak sedar negara kita sudah 53 tahun merdeka dalam keadaan aman dan harmoni. Walaupun di bulan Ramadhan, sambutan hari merdeka  masih meriah kerana semangat cintakan bangsa dan negara. Selama 53 tahun sudah banyak pembangunan dan kemajuan yang kita kecapi. Syabas rakyat Malaysia.

Begitu unik tema Hari Merdeka pada tahun ini, adakah kita mampu untuk merealisasikan tema ini? Jika kita lihat anak- anak muda zaman sekarang sudah tidak tahu erti kemerdekaan. Apa yang mereka tahu keseronokan semata- mata. Mereka tidak sedar bahawa mereka sekarang ini di jajah minda dengan pelbagai jenis hiburan dan pengaruh budaya barat yang menjadi ikut- ikutan. InsyaAllah sempena sambutan hari merdeka tahun ini diharap kita sebagai rakyat Malaysia boleh membuat transformasi dari segala aspek demi bangsa, agama dan negara. Semoga rakyat Malaysia dapat mengekalkan keamanan, keharmonian dan kestabilan yang kita kecapi kini dan selamanya. 

MALAYSIA BOLEH !!!

Otak- otak Terengganu

Otak- otak ikan dan sotong
Salam sejahtera....
Pernahkan anda mencuba makan otak- otak dari Terengganu? Otak- otak bukan sahaja terdapat di Terengganu malah terdapat juga di negeri lain di Malaysia, Indonesia dan Singapura tetapi dengan resepi dah rasa yang berbeza. Otak- otak diperbuat daripada isi ikan yang segar. Di Terengganu terkenal dengan negeri pengeluaran ikan kerana majoriti penduduk yang tinggal di pesisir pantai bekerja sebagai nelayan. Dijamin otak- otak dari Terengganu diperbuat daripada isi ikan yang segar dan asli. Otak-otak merupakan salah satu produk berasaskan ikan yang terkenal di negeri ini selain keropok lekor dan satar. Ikan- ikan segar yang ditangkap diproses dan isinya diambil dan dicampurkan dengan rempah khas serta dimasukkan ke dalam daun kelapa kemudiannya di bakar. Otak- otak boleh dimakan begitu sahaja selepas di bakar ataupun dimakan dengan nasi. Selain isi ikan, terdapat juga sotong dan udang yang dijadikan otak- otak. Otak- otak yang dijual di Terengganu memang asli dan rasanya enak. Cuba sekali pasti nak lagi. Ianya boleh di dapati di sekitar Kuala Besut, Penarik, Kemaman dan banyak lagi tempat terutama kedai yang menjual makanan laut di sepanjang jalan di pesisir pantai.

Saturday, August 28, 2010

Batik Sarong Terengganu menawan...

Sarong Terengganu

Blok yang digunakan untuk mencetak kain batik

Bekas Pensil 

Kain batik sarong amat sinonim dengan wanita terutamanya orang Melayu sejak dulu lagi. Ia amat mudah dipakai dan digayakan dengan pelbagai fesyen, ada yang pakai di rumah dan ada yang menggayakannya di majlis- majlis keramaian dengan memadankan kain batik sarong dengan fabrik kosong membuat si pemakai kelihatan manis dan menawan. Corak fabriknya di reka bertemakan flora dan fauna menjadikannya kelihatan cantik, menarik dan elegen. Batik Sarong Terengganu bukan sahaja dipakai sebagai sarong malah ianya juga dijadikan barangan kraf, kasut, tas tangan dan sebagainya. Kilang yang terkenal di Terengganu mencetak batik Terengganu asli iaitu Nor Arfa Batik.

Tuesday, August 24, 2010

Kain Songket Warisan Asli




Kain Songket

Salam semua...
Kali ini saya ingin berkongsi maklumat dengan pembaca semua tentang kain songket. Kain songket amat sinonim dengan rakyat Terengganu. Ianya bukan sahaja dipakai dalam majlis- majlis rasmi atau perkahwinan malah sekarang ini telah dipelbagaikan untuk dijadikan produk- produk yang lebih kreatif untuk di pasarkan. Masih terpahat di memori kita pejuang songket Malaysia iaitu Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang berusaha memartabatkan industri songket Malaysia ke persada fesyen tanah air dan antarabangsa.

Baju Songket

Pakaian Songket di Raja

Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit benang sutera, emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas, perak dan sutera. Dari segi sejarah, ia hanya dipakai golongan bangsawan iaitu keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau. Songket punya nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Songket yang ditenun menggunakan tangan sangat halus corak dan mempunyai kualiti  yang tinggi. Sebelum menenun, benang yang akan digunakan itu perlu melalui beberapa proses.
Alat tenunan songket
Produk berasaskan kain Songket :


Kulit Diari 

Kotak yang direka menggunakan kain songket
Jika berminat untuk menempah barang- barang hasil rekaan di atas, boleh menghubungi Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu.



Monday, August 23, 2010

Kraftangan : Anyaman






Salam semua...
Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang seni kraf yang memerlukan penelitian yang terperinci dah kelembutan tangan si pembuatnya bagi menghasilkan produk yang berkualiti. Di Terengganu produk kraf dari anyaman sangat terkenal dengan kehalusan rekaan corak yang menarik. Anyaman ialah proses menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan-bahan tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan, mengkuang, jut, kercut dan sebagainya. Bahan ini biasanya mudah dikeringkan dan lembut serta perlu melalui beberapa proses sebelum ianya boleh di anyam.  

Contoh produk anyaman :


Daun Mengkuang yang telah diwarnakan 

Daun Kercut

Daun Mengkuang dan buluh

Daun Mengkuang
Daun Pandan


Jika anda berminat untuk memilikinya boleh di beli di Pasar Besar Kedai Payang dengan harga yang berpatutan

Sunday, August 22, 2010

Kesinambungan Warisan Seni Kraf Terengganu

Aneka kraf yang terkenal di Terengganu
Salam semua.....

Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang seni Kraf yang tersohor di Terengganu yang semakin luput di telan zaman jika tidak diberi perhatian. Sekalung tahniah di ucapkan kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Cawangan Terengganu kerana memelihara kesenian warisan Terengganu sejak dari zaman berzaman.

Terengganu dikatakan di antara negeri yang kaya dengan warisan seni kraf sejak dahulu lagi. Lebih kurang 1000 orang usahawan kraf di Malaysia berasal dari negeri Terengganu. Pelbagai seni kraf yang berkualiti yang dipasarkan dengan harga berpatutan. Kekreatifan rakyat negeri Terengganu menghasilkan seni kraf yang halus mampu mempromosikan negara amnya dan Terengganu khasnya ke pentas dunia suatu hari nanti.

Di Terengganu, kraf boleh dibahagikan kepada lima jenis iaitu :-
  • Ukiran Kayu
  • Songket
  • Anyaman
  • Batik Sarung dan Sutera
  • Tembaga




Friday, August 20, 2010

Bazar Ramadhan Marang

Salam...
Bazar Ramdhan sungguh sinonim dengan bulan puasa. Seluruh negara akan dibanjiri dengan pelbagai jenis kuih- muih dan lauk- pauk yang lazat untuk dijadikan juadah berbuka. Bagi mereka yang sibuk bekerja dan tidak sempat menyediakan juadah berbuka akan berkunjung ke Bazar Ramadhan untuk memilih sahaja mengikut citarasa masing- masing. Tidak ketinggalan juga Bazar Ramadhan yang terdapat di Marang, Terengganu dibanjiri dengan pengunjung- pengunjung setempat yang datang bertandang untuk mencari juadah berbuka. Bazar Ramadhan ini di buka setiap hari bermula pukul 4.00 petang sepanjang bulan Ramadhan. Ia bukan sahaja di kunjungi oleh umat Islam, malah  menjadi tumpuan kaum bukan Islam dan para pelancong asing yang mengambil peluang untuk mencuba masakan tradisional masyarakat Melayu yang unik.

Aneka jenis kuih muih

Aneka jenis kuih muih yang dijual

Thursday, August 19, 2010

Manisan Ori dan Kampung


Salam semua....
Manisan @ nis'san 
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kakak Suri kerana menyambut baik kedatangan kami ke Manis Sokmo Enterprise. Hari ini saya ingin berkongsi dan membawa pembaca ke pusat perusahaan manisan atau lebih dikenali dengan nama nis'san di kalangan rakyat Terengganu. Hari ini saya telah berkunjung ke tempat pembuatan manisan yang terkenal di Terengganu yang terletak di Kg Batangan Seberang Marang. Selain daripada manisan @ nis'san, terdapat produk lain juga yang diusahakan oleh kak Suri iaitu dodol daun palas dan manisan kelapa pulut. 

Manis Sokmo Enterprise merupakan syarikat IKS yang dimiliki oleh Puan Suri Binti Abdul Ghani. Menurut beliau, perusahaan ini diwarisi dari keluarganya sejak dari dulu lagi secara kecil- kecilan. Kini kak Suri cuba mengembangkan perniagaanya di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu. Terdapat dua jenis manisan yang dihasilkan di sini iaitu manisan asli dan manisan kampung Bukan senang untuk menghasilkan sekeping manisan, saya ingin membawa anda semua melihat pemprosesan manisan di Manis Sokmo Enterprise.

Adunan manisan di atas dapur

Bahan utama yang diperlukan untuk menghasilkan manisan @ ni'san untuk satu kawah di atas ialah  90% gula pasir (satu beg 50 kg) dan 10% air nira kelapa dan air. Langkah pertama untuk membuat manisan @ nis'san iaitu dengan memasukkan campuran tadi ke dalam kawah dan dimasak selama satu jam.

Acuan Gelung

Sementara menunggu adunan tadi masak, acuan gelung yang diperbuat daripada daun mengkuang pandan ini di susun di atas meja untuk memudahkan kerja- kerja menuang manisan yang panas kerana ianya perlu dibuat dengan pantas supaya tidak beku.

Adunan dipindahkan ke kuali untuk dimasukkan ke dalam acuan
Adunan ini perlu dikacau sentiasa kerana jika dibiarkan akan membeku dan sukar untuk dimasukkan ke dalam acuan.




Pewarna di tambah ke dalam adunan
Memasukkan manisan panas ke dalam acuan
Selepas satu jam, adunan tadi di pindah masuk ke dalam kuali lain yang berhapiran dengan acuan gelung supaya senang untuk dimasukkan ke dalam acuan. Sebelum adunan tadi di tuan ke dalam acuan gelung ianya perlu ditambah dengan sedikit pewarna yang berasal dari bahan yang sama tetapi warnanya lebih gelap sedikit. Setelah bahan ini sebati maka iainya akan dituangkan ke dalam acuan gelung yang telah disediakan tadi.

Thursday, August 12, 2010

Puteri Rantau Abang Kembali Lagi....


 Puteri Rantau Abang kembali mendarat selepas 32 tahun menghilang"  tajuk utama yang terpampang di dada akhbar yang menggegarkan penduduk setempat. Penyu belimbing dikatakan  telah kembali ke darat setelah 32 tahun meninggalkan pantai Rantau Abang. Penyu belimbing ini telah dilepaskan di bawah program penetasan bagi tujuan pemuliharaan yang dipantau oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) pada tahun 1978 kembali mendarat buat pertama kalinya untuk bertelur di pantai Rantau Abang. Pelancong dan penduduk setempat yang turut teruja dan tidak melepas peluang menyaksikan upacara pemasangan peranti satelit oleh Institut Penyelidikan  Perikanan untuk mendapatkan  maklumat saintifik mengenai laluan penjelajahan penyu itu, kawasan pemakanan dan permainannya serta merekod suasana ekologi. Pada musim pendaratan tahun ini, difahamkan 3 ekor ibu penyu telah mendarat di pantai ini bertelur sebanyak 500 biji dan dieram di bawah Pusat Penetasan Rantau Abang dan kemudiannya dilepaskan ke laut. Bagi sesiapa yang berminat untuk melihat sendiri penyu bertelur boleh berkunjung ke Pantai Rantau Abang dalam bulan Mei sehingga Ogos setiap tahun.

Isu Pembuangan bayi : Hukuman berat dikenakan

Salam....

Hari ini saya ingin berkongsi pendapat tentang isu pembuangan bayi yang semakin menular di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Sungguh menyayat hati apabila melihat mayat seorang bayi yang ditemui mati dibuang dalam lubang kumbahan najis. Dimanakan perasaan si pelaku yang sanggup melakukan perkara tersebut tanpa sedikit belas kasihan di hati. Saya menyokong penuh langkah yang diambil oleh pihak kerajaan mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap mereka yang terlibat. Paparan akhbar hari ini menunjukkan pihak kerajaan memandang serius mengekang gejala yang tidak bermoral:

" KUALA LUMPUR 12 Ogos – Kabinet mengarahkan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan bunuh. Arahan itu meminta polis supaya menyiasat sesiapa yang membuang bayi sehingga menyebabkan kematian bayi di bawah Seksyen 302 kanun tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. Selain itu, mereka juga boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian di bawah kanun yang sama. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, penguatkuasaan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri semalam. Menurutnya, penguatkuasaan mengikut seksyen tersebut membuktikan kerajaan serius mengekang gejala pembuangan bayi daripada berleluasa. "Saya telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan penyiasatan kes pembunuhan bayi mengikut Kanun Keseksaan. “Kementerian juga akan menerima pakai penukaran perkataan ‘buang bayi’ kepada ‘pembunuhan bayi’. Ini amaran keras bahawa bayi bukannya dilahirkan untuk dibunuh sesuka hati,” katanya." ~ petikan akhbar utusan 13 Ogos 2010.

Petikan akhbar di atas memerlukan kerjasama dari semua pihak berganding bahu dalam menangani isu yang tidak bermoral ini. Pihak kerajaan, para guru, ibu bapa, rakan sebaya perlulah bekerjasama berganding bahu membanteras gejala yang tidak sihat ini.  Saya percaya jika semua orang memainkan peranan masing- masing pasti isu ini dapat dikurangkan secara efektif. Saya mencadangkan agar pihak kerajaan memperbanyakkan lagi program-program sosial berunsurkan keagamaan yang melibatkan golongan remaja untuk memberi pendedahan kepada meraka. Begitu juga dengan para ibu bapa hendaklah sentiasa mengawasi pergaulan anak- anak meraka dan dengan siapa meraka berkawan. Saya berharap dengan tindakan keras yang diambil oleh pihak kerajaan membuka mata- mata golongan terlibat berfikir dua kali sebelum melakukannya.



Wednesday, August 11, 2010

Jom terokai Hutan Lipur Chemerung





Hutan Lipur Chemerung terletak di Hulu Dungun iaitu kira- kira 30 minit dari Kg. Raja dan  lebih kurang dalam 32 km masuk ke dalam dari lebuhraya Jerangar- Jabur.  Boleh datang dengan menggunakan kenderaan sendiri ataupun terdapat agen- agen  yang akan membawa anda ke sini. Pengalaman mengembara di dalam hutan lipur ini sewaktu menjalankan kursus yang dianjurkan amat menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan. Jika anda melalui lebuhraya Jerangar- Jabur ke Kuala Terengganu pasti akan melihat saluran air terjun  dari  puncak yang mengalir kerana difahamkan air terjun ini merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara. Memang sangat teruja apabila melihatnya.

Terdapat laluan pejalan kaki yang disediakan untuk aktivititi pengembaraan. Mengembara di dalam hutan ini sungguh memenatkan sehingga kaki tidak terdaya lagi untuk melangkah, tetapi semangat yang tinggi dan dapat melihat keindahan alam ciptaan Allah yang sangat unik menjadi satu kenangan yang terindah. Hutan ini belum diterokai pelbagai jenis flora dan fauna yang aneh dan boleh dilihat. Suasana yang  sejuk dan mendamaikan kerana dikelilingi pokok- pokok balak yang besar menjadi payung hutan. 

Setelah penat berjalan kami berhenti rehat sebentar  sebuah kolam semulajadi yang jernih airnya terdapat di tengah- tengah hutan lipur ini. Perut sudah lapar dan kami semua berkelah di sini sebelum menyambung perjalanan. Ada diantara kami yang sempat mandi kerana teruja melihat kejernihan air bewarna kehijauan apabila dipantulkan oleh cahaya matahari. Bagi sesiapa yang menggemari aktiviti lasak bolehla berkunjung ke sini kerana terdapat alur- alur sungai kecil yang boleh direntasi dengan menggunakan tali. Deruan air terjun jelas kedengaran menghempas batu menenangkan fikiran. Jika ingin tahu dengan lebih lanjut datangla ke Hutan Lipur Cemerung untuk menghayati sendiri pengembaraan ini.

Tuesday, August 10, 2010

Ahlan Wa Sahlan Wamarhaban Ya Ramadhan......




Salam...Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan umur kita untuk sama- sama menjalankan Ibadah puasa pada tahun ini yang  jatuh pada  hari Rabu 11 Ogos 2010. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Meneruskan Ibadah Puasa kepada muslimin dan muslimat tidak kira di mana anda berada. Semoga kita dapat melipatgandakan amalan kita pada tahun ini menjadi lebih baik dari tahun- tahun sebelumnya. Di sini saya ingin berkongsi dengan pembaca sekalian tentang amalan- amalan sunat yang boleh dilakukan semasa bulan barkah ini dan diharap kita dapat sama- sama mengamalkannya
  1. Ramadhan adalah bulan umat Muhammad saw. Bersabda baginda yang bermaksud " Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan."
  2.  Sabda baginda dalam hadis yang lain, " Jika umat manusia itu mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam bulan ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu Ramadhan"
  3. Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda
  4. Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu
  5. Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari api neraka
  6. Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat sunat yang lain.
  7. Benyakkan berdoa, berzikir selawat, membaca Al Quran, bertaubat dan lain-lain
  8. Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan ditimpa kemalangan.
  9. Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
  10. Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam Lailatul Qadar seperti beriktikaf di masjid, qiamullail dan sebagainya
Semoga Allah memberkati amalan kita pada bulan yang penuh barakah ini...ameen

Saturday, August 7, 2010

Laksam

BAHAN- BAHAN :

1) Laksam
- 200gm tepung beras
- 40 g tepung gandum
- 1 sudu tepung ubi
- sedikit garam
- 550 - 600 ml air

2) Kuah

- 600gm ikan sardin/selayang, rembus, ambil isi dan tumbuk
- 2 L santan (2 biji kelapa)
- 6 ulas bawang merah (dikisar)
- 4 ulas bawang putih (dikisar)
- 1 cm halia (dikisar)
- 1 sudu lada hitam (ditumbuk)
- sedikit garam dan gula

3) Ulam
- kacang panjang dan timun (dipotong halus)
- Daun kesum, kobis, daun serai kayu (dimayang halus)
- tauge

4) Sambal belacan
- cili padi
- limau kasturi
- garam dan gula
- belacan

Cara membuat :
  1. Masukkan semua bahan untuk kuah dan masak sehingga mendidih. Kemudian perlahankan api dan reneh sehingga pekat. Angkat dan ketepikan.
  2. Untuk laksam, kacau semua jenis bahan di atas sehingga sebati dan adunan tidak terlalu cair dan pekat. Sapukan minyak pada tudung periuk agak tidak melekat, kemudian masukkan satu senduk adunan dan kukus sehingga masak lebih kurang dua minit. Kemudian gulung sewaktu masih panas. Biarkan sejuk dan dipotong.
Cara Hidangan :

Masukkan laksam bersama kuah serta sambal belacan. Untuk lebih enak perah sedikit limau nipis.

Kuih- muih

Dodol



Tidak lengkap jika datang ke Terengganu tidak membeli dodol. Terdapat pelbagai jenis dodol yang dijual diantaranya perasa pandan, lemak dan gula melaka.


Kuih Baulu

Kuih baulu ini sedap kerana ianya di masak dengan kaedah tradisional iaitu menggunakan sabut kelapa untuk membakarnya. Rasanya amat berbeza jika dibandingkan dengan menggunakan oven pembakar khas baulu.

Kuih Gelembung Buaya

Kuih ini dalam kategori dodol cuma yang bezanya ianya diperbuat daripada kelapa. Warga emas mesti menggemarinya.

Kuih Penderam


Kuih penderam amat digemari ramai dari semua peringkat umur. Rasanya yang manis sesuai dimakan pada bila- bila masa terutamanya pada waktu petang.


Kuih Menganang


Kuih tradisional ini terkenal di Terengganu dan boleh didapati di Pasar Kedai Payang. Sesuai di makan pada waktu petang bersama air teh 'O'.






Add Video

Rodat


Dipercayai Rodat ini berasal dari negara Arab  dan di bawa masuk ke Malaysia melalui Sambas, Indonesia. Rodat merupakan ringkasa dari dua perkataan iaitu Hadrat Baghdad yang membawa maksud Zikir Baghdad. Persembahan Rodat lebih berunsurkan keagamaan memuji Allah dan Nabi. Ia juga berunsurkan nasihat, lawak jenaka yang mengajak masyarakat untuk memajukan diri dalam bidang sosial dan budaya. Kebiasaannya Rodat ini dipersembahkan dalam majlis perkahwinan, kebudayaan dan hari kebesaran Raja- raja. Bilangan ahli dalam kumpulan ini seramai 20-26 orang yang dibahagikan kepada "pelnggik" (12 orang penari lelaki), 'pengadi'(8 orang pemain drum) dan 'mak inang' (4-6 penari perempuan).

Gamelan

Jika dikaji dari sudut sejarah asal usul bermula Tarian Gamelan ini merupakan sebuah tarian istana yang popular dalam zaman kesultanan Riau-Lingga iaitu pada masa pemerintahan Sultan Abdul Rahman II. Tarian ini mula diperkenalkan di Tanah Melayu iaitu di Istana Bendahara Tun Ali, Pahang di masa perkahwinan anakanda baginda. Di Negeri Terengganu pula pada mulanya Gamelan diperkenalkan dalam bentuk muzik sahaja dan dikenali sebagai ‘keromong’. Dikatakan Tarian Gamelan di Terengganu diperkenalkan sewaktu perkahwinan Tengku Meriam iaitu puteri Sultan Ahmad dengan Zainal Abidin II. Tarian Gamelan ( ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja ) diiringi oleh muzik yang terdiri dari alat-alat seperti Gambang, Sarom, Keromong, Kenang, Gong dan Gendang. Penari-penari pula memakai pakaian yang direka khas dan berwarna-warni. Hiasan kepala seperti Gandek, Gerak Gempa, Tajok, Goyang Tengkuk mencantikkan penari-penari. Hiasan lain yang dipakai ialah Dokoh, Gelang Kaki dan Gelang Tangan. Lebih kurang 39 tarian dicipta untuk ditarikan yang berdasarkan cerita-cerita panji. Antaranya ialah Taman Sari, Ketam Renjong, Ayak-Ayak, Timang Burung Lantai Lima, Perang Manggong dan sebagainya. ~sumber dipetik dan diubahsuai dari Web Perpustakaan Terengganu~

Anak Burong Baniong

Tarian Anak Burung Baniong  yang berasal dari kampung Kuala Jengai di Hulu Terengganu. Bahan seperti pucuk kelapa (Saba) yang dijadikan bahan utama, bertih, kemenyan dan berjenis alat yang penuh dengan semangat digunakan dalam tarian ini. Penari-penari akan menari dalam jelmaan binatang-binatang. Tarian ini pada suatu masa dahulu adalah merupakan sebuah tarian pemujaan. Dikatakan temasya ini diadakan selepas musim menuai, sembuh dari penyakit, menyambut tetamu datang dan bila cukup tahun tetapi kini tidak diamalkan kerana ketinggian ilmu keagamaan, ianya dipersembahkan sekadar untuk persembahan kebudayaan. Alat-alat muzik tradisional digunakan dalam persembahan ini seperti anak ambang (buluh), anak cerating, rebana dan seruling digunakan membentuk sebuah okestra sementara lagu-lagu yang dinyanyikan pula adalah di dalam bentuk nada dan irama kontemporari.

Friday, August 6, 2010

Kemaman

Jika berkunjung ke Kemaman, terdapat beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi
  • Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman
  • Pantai Kemasik
  • Pantai Telok Kalong
  • Pantai Teluk Mak Nik, Geliga Kemaman
  • Pantai Cagar Hutan
  • Pantai Teluk Air Tawar
  • Pantai Kuala Kerteh
  • Pantai telaga Simpul, Teluk Kalong
  • Pantai Bukit Tampin
  • Kelip- kelip di Sungai Yak Yah
  • Air Terjun Penitih
  • Sata, otak- otak di Kuala Kemaman
  • Kolam Air Panas Cerul
  • Pusat Rekreasi Cheneh
  • Mesra Mall Kerteh

Dungun

Jika bertandang ke Dungun, singgah sekejap menikmati keindahan alam dan pantai yang menarik terdapat di sini
  • Pulau Tunggal
  • Rantau Abang
  • Tanjung Jara
  • Teluk Bidara
  • Pantani Teluk Lipat

Marang

Jika datang ke daerah Marang boleh berkunjung ke beberapa tempat menarik yang terdapat di sini
  • Perkapungan Tradisi- Kg Jenang
  • Pulau Kapas
  • Pantai Kelulut
  • Pasar Besar Marang
    Publish Post

Kuala Terengganu

Jika bertandang ke Kuala Terengganu bolehla berkunjung ketempat- tempat menarik yang terdapat di sini
  • Kampung Cina
  • Pasar Besar Kedai Payang
  • Kompleks Muzium Negeri
  • Istana
  • Pulau Duyung
  • Bukit Puteri
  • Kraf Noor Arfa Batik
  • Pulau Bidung
  • Pantai Batu Buruk
  • Pantai teluk Ketapang

Hulu Terengganu

Tempat- tempat menarik yang boleh dikunjungi jika bertandang ke Hulu Terengganu
  • Tasik Kenyir
  • Belukar Bukit
  • hutan Lipur Sekayu

Setiu

Jika bertandang ke Setiu boleh singgah ke beberapa tempat menarik yang terdapat di daerah ini
  • Lata Chakah
  • Pantai PEnarik dan Rhu Sepuluh
  • Pulau Redang
  • Pulau Lang Tengah

Besut



Tempat- tempat menarik yang boleh dikunjungi jika bertandang ke Besut
  • Bukit keluang
  • Gunung Tebu
  • Kolam Air Panas LA ( LA Hor Springs)
  • Lata Belatan
  • Lata Tembakah
  • Pantai Air Tawar
  • Pantai Dendong
  • Pulau Perhetian
  • MAsjid Hadhari
  • Perkampungan Tradisi Kuala Besut
  • Perkampungan Warisan Kg. Raja
  • Kompleks Pendaratan Ikan LKIM Kuala Besut

Wednesday, August 4, 2010

Cuti- cuti Keluarga di Hutan Lipur Lata Tembakah

Tidak tahu kemana untuk menghabiskan hari minggu anda bersama keluarga? Jom kita ke hutan lipur Latar Tembakah. Hutan Lipur ini salah satu tempat menarik yang terdapat di Besut. Ianya terletak lebih kurang 24 km dari bandar Jertih dan 130 km dari Bandaraya Kuala Terengganu.
Setiap hujung minggu kawasan ini pasti akan dibanjiri pengunjung yang datang dari dalam dan luar negeri. Apa yang menarik di sini ialah air sungai yang bersih, air terjun yang dingin dan cantik serta kolam- kolam air semulajadi yang sangat sesuai untuk aktiviti perkelahan bersama ahli keluarga. Kawasan ini juga sentiasa dijadikan tempat untuk aktiviti perkhemahan. 
Lata Tembakah menjadi tumpuan ramai bukan sahaja penduduk setempat malah mereka yang tinggal di luar kawasan Besut. Jambatan gantung yang disediakan selain air terjun dan batu batan yang cantik sememangnya cukup menyejukkan mata yang memandang dan menggamit pelancong untuk berkunjung ke sini.
Hutan Lipur Lata Tembakah

Air yang sejuk dan nyaman menyegarkan badan

Jambatan kayu dengan permandangan yang menarik

Tuesday, August 3, 2010

Kedatangan Islam Di Terengganu

Setakat ini tidak dapat dipastikan dengan tepat tarikh atau tahun dari  mana kedatangan Islam ke Terengganu. Namun begitu pada Batu Bersurat Terengganu tercatat tahun Hijrah 702, bersamaan 1303. Tahun yang tercatat di Batu Bersurat bukan bermakna Islam bermula di Terengganu pada tahun tersebut, Namun tarikh tersebut memberi  makna Agama Islam telah bertapak di Terengganu sebelum tahun 1303. Perkembangan Islam di Terengganu sebelum tahun tersebut membolehkan penulis Batu Bersurat menulis jawi dan golongan tertentu di Terengganu boleh membaca jawi. Satu perkara yang menarik bagi negeri Terengganu ialah negeri itu merupakan negeri yang terawal di Malaysia mengkanunkan undang- undang Islam. 

Batu bersurat yang dijumpai di Kampon Buluh, Kuala Berang, kira- kira tahun 1887M menyatakan tulisan perkataan Terengganu itu ialah "Terenkanu" dan di atas duit timah (pitis) yang bertarikh 1310H(1310M) ejaan "Terkanu" . Maka diantara nama- nama itu didapati Terengganu ditulis TERIANGGANO. Bilakah Terengganu dgelar "Darul Iman" tidaklah dapat ditentukan dengan sah., tetapi semasa pemerintahan Sultan Umar (Marhum Baginda 1893-1879) ada dikatakan gelarannya "Darus- Salam" - sumber diperolehi dari Info Penggerak Minda Rakyat-

Terminal Perlancongan Besut



Destinasi pilihan saya kali ini ialah Terminal Perlancongan Besut. Jika anda semua masih tertanya- tanya ke mana destinasi percutian anda terutamanya pengantin baru, pasti di sinilah  ianya akan bermula. Terminal Perlancongan ini merupakan sebuah jeti yang terkenal sebagai pintu masuk pelancong- pelancong dari dalam dan luar negeri ke Pulau Perhentian. Jika anda merancang untuk bercuti ke Pulau Perhentian, boleh datang ke sini tidak kira di mana anda berada. Tempat letak kereta yang selamat dan terdapat juga beberapa buah hotel untuk penginapan yang berhampiran dengan jeti.

Bagi mereka yang baru habis bercuti dari Pulau Perhentian tidak sempat untuk membeli cenderamata untuk yang tersayang boleh menjengah gerai- gerai cenderamata yang terdapat di dalam Terminal Perlancongan ini.  Pelbagai jenis cenderamata aneka pilihan untuk di bawa pulang. Jangan lupa datang ke sini untuk memulakan destinasi percutian anda.

Masjid Hadhari

Salam semua.....
Lama tidak menjenguk blog ni. Hari ini saya ingin mencoretkan serba sedikit tentang Masjid Hadhari yang menjadi mercu tanda bandar Jertih. Kalau anda melalui jalan dari Terengganu ke Kota Bharu tentu anda akan perasan Masjid Hadhari di sebelah kiri jalan utama yang tidak jauh dari  bandar Jertih. Bandar Jertih merupakan sebuah bandar yang menjadi pusat perniagaan dan sumber ekonomi orang besut dan orang kelantan kerana kedudukannya bersempadan dengan kelantan. 

Masjid ini telah diilhamkan oleh bekas menteri besar terengganu Y.B Idris Jusoh. Jika diteliti Masjid Hadhari ini berseni binakan ciri- ciri sebuah masjid di Cordoba Sepanyol. Sekeliling masjid dipenuhi dengan gerbang-gerbang yang dicat secara berjalur dan diukir dengan ukiran yang menarik. Di anggarkan masjid ini bernilai Rm18 juta .Masjid Hadhari ini dilengkapi dengan lif, gerai makan, kelas, pejabat dan wifi percuma. Jika kebetulan anda melaui jalan ini, boleh singgah untuk melihat sendiri keanggunan ukiran senibina Islam.


Rekabentuk masjid yang unik