Hari ini saya ingin berkongsi pendapat tentang isu pembuangan bayi yang semakin menular di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Sungguh menyayat hati apabila melihat mayat seorang bayi yang ditemui mati dibuang dalam lubang kumbahan najis. Dimanakan perasaan si pelaku yang sanggup melakukan perkara tersebut tanpa sedikit belas kasihan di hati. Saya menyokong penuh langkah yang diambil oleh pihak kerajaan mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap mereka yang terlibat. Paparan akhbar hari ini menunjukkan pihak kerajaan memandang serius mengekang gejala yang tidak bermoral:
" KUALA LUMPUR 12 Ogos – Kabinet mengarahkan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan bunuh. Arahan itu meminta polis supaya menyiasat sesiapa yang membuang bayi sehingga menyebabkan kematian bayi di bawah Seksyen 302 kanun tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. Selain itu, mereka juga boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian di bawah kanun yang sama. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, penguatkuasaan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri semalam. Menurutnya, penguatkuasaan mengikut seksyen tersebut membuktikan kerajaan serius mengekang gejala pembuangan bayi daripada berleluasa. "Saya telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan penyiasatan kes pembunuhan bayi mengikut Kanun Keseksaan. “Kementerian juga akan menerima pakai penukaran perkataan ‘buang bayi’ kepada ‘pembunuhan bayi’. Ini amaran keras bahawa bayi bukannya dilahirkan untuk dibunuh sesuka hati,” katanya." ~ petikan akhbar utusan 13 Ogos 2010.
Petikan akhbar di atas memerlukan kerjasama dari semua pihak berganding bahu dalam menangani isu yang tidak bermoral ini. Pihak kerajaan, para guru, ibu bapa, rakan sebaya perlulah bekerjasama berganding bahu membanteras gejala yang tidak sihat ini. Saya percaya jika semua orang memainkan peranan masing- masing pasti isu ini dapat dikurangkan secara efektif. Saya mencadangkan agar pihak kerajaan memperbanyakkan lagi program-program sosial berunsurkan keagamaan yang melibatkan golongan remaja untuk memberi pendedahan kepada meraka. Begitu juga dengan para ibu bapa hendaklah sentiasa mengawasi pergaulan anak- anak meraka dan dengan siapa meraka berkawan. Saya berharap dengan tindakan keras yang diambil oleh pihak kerajaan membuka mata- mata golongan terlibat berfikir dua kali sebelum melakukannya.
No comments:
Post a Comment