Tuesday, November 9, 2010

Tahniah Kepada Pemenang Hadiah Pertama



Salam semua....saya ingin mengucapkan tahniah tidak terhingga kepada Haizan kerana berjaya menjadi pemenang. Memang blog Haizan sangat bombastik memang layak mejadi pemenang hadiah utama. Saya amik berkat je duduk kat sebelah Haizan :).

Thursday, September 30, 2010

Lagu Joget Terengganu

Lagenda Bukit Puteri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua...

Hari ini saya ingin mengajak pembaca semua ke Bukit Puteri. Tempat ini merupakan salah satu tempat bersejarah yang terdapat di Terengganu. Kedudukannya di dalam bandar Kuala Terengganu di tepi muara sungai serta berhampiran dengan Pasar Besar Kedai Payang memudahkan pengunjung untuk datang melawat ke tempat bersejarah ini. Lokasinya juga amat strategik sebagai aset perlancongan kerana berhampiran dengan Bangunan bersejarah lain iaitu Istana Maziah dan Masjid Abidin. Terdapat artifak menarik yang kita boleh lihat di sini seperti gambar yang saya paparkan di bawah ini.

Tiket dan waktu lawatan ke Bukit Puteri

Genta (Loceng besar)
Ha...ini namanya Genta atau loceng besar. Mengikut sejarah, ianya dibuat semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (tahun 1326H/1908M). Genta ini dipukul untuk memasyurkan jika ada sesuatu bencana berlaku seperti orang mengamuk, kebakaran atau musuh melanggar negeri. Jika Genta ini dibunyikan semua pembesar dan segala hamba berlari ke istana bersiap sedia lengkap dengan senjata sekiranya ada orang mengamuk atau musuh menyerang. Manakala jika berlaku kebakaran mereka akan datang membantu. Sekarang ini Ginta masih digunakan untuk mengumumkan masa berbuka, masuk waktu sahur dan imsak pada bulan Ramadhan. Ginta dibunyikan dan diikuti dengan satu das tembakan meriam.

Kubu Pertahanan
Mengikut sejarah, Kubu ini dibina untuk pertahanan. Ianya dibina oleh Baginda Umar yang dibina daripada batu bata. Di dalam kubu ini terdapat Singahsana, lubang simpanan peluru meriam, tiang bendera diraja dan rumah api.

Singahsana
Ini ialah Singahsana. Mengikut sejarah, ianya dibina oleh Sultan Baginda Umar sebagai tempat baginda bersemayam bagi membincangkan pelbagai strategi dengan pembesar- pembesar.

Lubang Ubat Bedil
Mengikut sejarah, Lubang ubat bedil ini terletak di belakang Singahsana, lubang ini digunakan untuk menyimpan peluru meriam semasa berlaku perang saudara pada tahun 1831 dan 1839.



Rumah Api
Menjadi panduan kepada nelayan- nelayan dan kapal- kapal berlabuh di kuala


Meriam Beranak
Ha...kenapa meriam ini dinamakan Meriam Beranak? Mengikut catatan pada papan tanda itu ia digelar Meriam Beranak kerana kedudukannya berdekatan di antara satu sama lain dan saiznya juga berbeza. Meriam berukuran besar itu dikatakan ibu kepada meriam yang kecil itu.

Monday, September 27, 2010

Jom menjamu selera

Medan Selera yang terkenal di Kelulut
Jika anda terasa lapar dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Dungun atau sebalinya bolehlah singgah di sini untuk menjamu selera dan sambil merehatkan minda bersantai di tepi pantai. Lokasinya sangat srategik di tepi pantai Kelulut. Jarak dari Kuala Terengganu lebih kurang 30km. Pelbagai makanan terdapat di sini. Paling terkenal ikan bakar, sotong, ikan, udang celuk tepung dan "alacate" pun ada.

Ikan Bakar Panas

Ini dia ikan segar yang sedang dibakar di atas daun pisang membuatkan aromanya fuh...tidak sabar menunggu. Anda boleh memilih jenis ikan atau sotong yang ingin dibakar. Harga juga berpatutan mengikut saiz dan berat. Tapi berbaloi berbelanja di sini. Buat duit datang sini berbelanja haha...


Landasan Keretapi ke Pelabuhan

Keretapi yang membawa bijih besi (sumber foto : Rakan Sejarah Dungun)
Keretapi merupakan pengangkutan utama ketika zaman kegemilangan perlombongan bijih besi di Bukit Besi, Dungun pada abad ke 20 lalu. Pengangkutan ini bermula dari Bukit Besi ke Dungun dengan melalui kampung-kampung tradisi seperti Kg. Laut, Pinang, Padang Pulut, Kemudi, Kumpal, Serdang, Binjai, Che Lijah, Nibong dan Sura. Selain keretapi berwagon yang mengangkut bijih, ia juga dijadikan sebagai pengangkutan yang membawa pekerja dan penumpang untuk berulang alik tanpa mengenakan sebarang bayaran dari Bukit Besi dan laluannya ke Bandar Dungun.


Landasan keretapi yang membawa bijih besi ke tengah laut untuk di muatkan ke dalam kapal.besar. Kini tinggal tiang ini sebagai bukti kewujudan Pelabuhan Sura Jeti suatu ketika dahulu. Jika anda mahu lihat dengan lebih dekat tiang ini boleh pergi ke Pantai Teluk Lipat Dungun. Jaraknya lebih kurang 5 minit dengan menaiki kereta dari bandar Dungun.

Bukit Tebuk

Bukit Tebuk

Ia dipercayai merupakan laluan jalan keretapi pengangkut bijih dari Bukit Besi menghala ke Pantai Teluk Lipat.

Landasan Keretapi di Bukit Tebuk (foto asal : Rakan Sejarah Dungun)
Bukit Tebuk yang suatu ketika dulu menjadi laluan utama keretapi mengangkut bijih besi dari Bukit Besi ke Pelabuhan yang terletak di bandar Dungun.



Maklumat Tentang Bukit Tebuk




Thursday, September 23, 2010

Kuih Cek Mek Molek

Cek Mek Molek
Bahan- bahan :
  • 1 kg ubi keledek
  • 200 gm tepung gandum
  • Sedikit garam
  • 1 biji telur
  • 1 sudu planta
  • Gula
  • Air
Cara- cara :

Ubi keledek direbus bersama air dan garam sehingga empuk. Angkat ubi keledek yang direbus kemudian ditumbuk sehingga hancur. Masukkan bahan di atas dan kacau sehingga menjadi doh.Masukkan garam sedikit sahaja. Bulatkan doh menjadi bebola. Kemudian doh tadi di leperkan, seterusnya letakkan sedikit gula di tengah dan bentukkan menjadi bujur. Setelah selesai semuanya bolehlah digorengkan didalam kuali yang berisi minyak yang panas. Goreng sehingga kekuning- kekuningan.

Cadangan : Sesuai di makan bersama air teh atau kopi di waktu pagi dan petang



Yati, 21 dari Hulu Marang "Saya bangga menjadi rakyat Terengganu kerana negeri ini kaya dengan warisan.Lokasinya yang strategik iaitu terletak di sepanjang laut China Selatan. Rakyatnya hidup aman dan damai.  Banyak tempat menarik yang boleh di kunjungi"


Senawati, 31 dari Merchang. "Pada pendapat saya, Terengganu sangat menarik dan sesuai untuk dijadikan destinasi perlancongan keluarga anda. Kenapa perlu berbelanja lebih untuk melancong ke luar negara? Datang saja ke Terengganu lebih murah dan banyak tempat- tempat menarik seperti pulau, air terjun dan pantai yang boleh dikunjungi. Kos penginapannya juga berpatutan. Setiap kali musim cuti sekolah saya pasti membawa keluarga saya ke kawasan air terjun di sekitar Terengganu untuk berkelah."

Tuesday, September 21, 2010

Ketupat Sotong

Ketupat Sotong



Bahan- bahannya :

  1. 1 kg sotong saiz sederhana besar (7 ekor)
  2. 1 cawan santan pekat 
  3. 200 gm beras pulut
  4. Nisan
  5. Sedikit garam 
Cara :

  1. Beras pulut di bersih sehingga bersih
  2. Kemudian dimasukkan ke dalam sotong sehingga separuh
  3. Masukkan santan pekat, sedikit garam, manisan 
  4. Masak dengan api perlahan
  5. Masak sehingga kuahnya agak kering sedikit lebih kurang 30 minit
  6. Sejukkan dan siap untuk dihidangkan

Wednesday, September 8, 2010

Tapai Beras

Tapai Beras


Salam semua, hari ini adalah hari ke 29 Ramadhan dan dikenali juga hari untuk membuat tapai.  Para ibu- ibu sibuk di dapur untuk merancang juadah istimewa hari raya. Tapai beras merupakan makanan tradisi rakyat Terengganu pada hari raya bersama sanak saudara dan rakan taulan. Walaupun banyak kuih muih moden dijual tetapi tapai beras tetap menjadi juadah utama di hari raya. Pada hari ini juga sanak saudara, adik- beradik yang merantau di seluruh pelosok tanah air pulang ke kampung halaman untuk berhari raya. Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca resepi membuat tapai beras yang manis.

Bahan- bahannya :
  • 1 biji ragi/ yis
  • 2 kg beras
  • Daun untuk membungkus tapai : daun getah/pisang
Cara- cara :
  1. Beras perlu dibasuh bersih dan kukus sehingga masak
  2. Sejukkan beras tadi
  3. Ragi perlu dihancurkan sehingga menjadi debu dan ditapis
  4. Masukkan ragi sedikit demi sedikit dan digaulkan sehingga sebati
  5. Masukkan ke dalam daun dan bungkus
  6. Setelah siap membungkus, masukkan ke dalam baldi yang kedap udara selama 3 hari 2 malam
Sebaik sahaja masuk hari ke-3, tapai tadi sudah masak dan boleh dihidangkan
perhatian : pemilihan ragi sangat penting untuk memastikan tapai beras yang dibuat itu manis





Monday, September 6, 2010

Beli Baju Raya di Gedung Kain Desa Murni



Gedung kain yang terkenal di Terengganu
Hari minggu yang lalu saya dan kekawan pergi ke Gedung kain yang terkenal di Terengganu iaitu Desa Murni yang terletak di Pengadang Baru. Pelbagai jenis kain tudung dan kain pasang boleh dipilih dan sangat rendah harganya berbanding dengan kedai- kedai yang lain. Batik Sutera dan kain cadar juga ada dijual di sini. Jika anda semua ingin jimat kos terutamanya musim perayaan ini boleh datang ke Desa Murni kerana harganya di jamin murah. Jika pembaca dari luar Terengganu jangan lupa singgah ke sini jika anda berkunjung ke Terengganu.

DESA MURNI/ PUSAT TUDUNG
Lot 1927-A,1928-A,1929-A,
Jalan Kuala Berang,
Kg Pengadang Baru, Mukim Gelugur Kedai,
21400 Kuala Terengganu, Terengganu
Tel : 09-6315084

Kuala Terengganu

PRIMULA CORAL VIEW BEACH RESORT
Pantai Peranginan Air Tawar
22200 Besut
Terengganu

09-6956311



RUMAH REHAT KERAJAAN
Pantai Peranginan Air Tawar
22200 Besut
Terengganu

09-6956326



RUMAH REHAT KERAJAAN
Pulau Perhentian Besar
d/a : Pejabat Daerah Besut
Besut, Terengganu

09-6956422
09-6956416


Tuesday, August 31, 2010

Selamat Hari Kemerdekaan ke - 53



Selamat menyambut Hari kemerdekaan ke - 53 dengan tema " 1Malaysia Menjana Transformasi" . Syukur ke hadrat Ilahi kerana dalam sedar tak sedar negara kita sudah 53 tahun merdeka dalam keadaan aman dan harmoni. Walaupun di bulan Ramadhan, sambutan hari merdeka  masih meriah kerana semangat cintakan bangsa dan negara. Selama 53 tahun sudah banyak pembangunan dan kemajuan yang kita kecapi. Syabas rakyat Malaysia.

Begitu unik tema Hari Merdeka pada tahun ini, adakah kita mampu untuk merealisasikan tema ini? Jika kita lihat anak- anak muda zaman sekarang sudah tidak tahu erti kemerdekaan. Apa yang mereka tahu keseronokan semata- mata. Mereka tidak sedar bahawa mereka sekarang ini di jajah minda dengan pelbagai jenis hiburan dan pengaruh budaya barat yang menjadi ikut- ikutan. InsyaAllah sempena sambutan hari merdeka tahun ini diharap kita sebagai rakyat Malaysia boleh membuat transformasi dari segala aspek demi bangsa, agama dan negara. Semoga rakyat Malaysia dapat mengekalkan keamanan, keharmonian dan kestabilan yang kita kecapi kini dan selamanya. 

MALAYSIA BOLEH !!!

Otak- otak Terengganu

Otak- otak ikan dan sotong
Salam sejahtera....
Pernahkan anda mencuba makan otak- otak dari Terengganu? Otak- otak bukan sahaja terdapat di Terengganu malah terdapat juga di negeri lain di Malaysia, Indonesia dan Singapura tetapi dengan resepi dah rasa yang berbeza. Otak- otak diperbuat daripada isi ikan yang segar. Di Terengganu terkenal dengan negeri pengeluaran ikan kerana majoriti penduduk yang tinggal di pesisir pantai bekerja sebagai nelayan. Dijamin otak- otak dari Terengganu diperbuat daripada isi ikan yang segar dan asli. Otak-otak merupakan salah satu produk berasaskan ikan yang terkenal di negeri ini selain keropok lekor dan satar. Ikan- ikan segar yang ditangkap diproses dan isinya diambil dan dicampurkan dengan rempah khas serta dimasukkan ke dalam daun kelapa kemudiannya di bakar. Otak- otak boleh dimakan begitu sahaja selepas di bakar ataupun dimakan dengan nasi. Selain isi ikan, terdapat juga sotong dan udang yang dijadikan otak- otak. Otak- otak yang dijual di Terengganu memang asli dan rasanya enak. Cuba sekali pasti nak lagi. Ianya boleh di dapati di sekitar Kuala Besut, Penarik, Kemaman dan banyak lagi tempat terutama kedai yang menjual makanan laut di sepanjang jalan di pesisir pantai.

Saturday, August 28, 2010

Batik Sarong Terengganu menawan...

Sarong Terengganu

Blok yang digunakan untuk mencetak kain batik

Bekas Pensil 

Kain batik sarong amat sinonim dengan wanita terutamanya orang Melayu sejak dulu lagi. Ia amat mudah dipakai dan digayakan dengan pelbagai fesyen, ada yang pakai di rumah dan ada yang menggayakannya di majlis- majlis keramaian dengan memadankan kain batik sarong dengan fabrik kosong membuat si pemakai kelihatan manis dan menawan. Corak fabriknya di reka bertemakan flora dan fauna menjadikannya kelihatan cantik, menarik dan elegen. Batik Sarong Terengganu bukan sahaja dipakai sebagai sarong malah ianya juga dijadikan barangan kraf, kasut, tas tangan dan sebagainya. Kilang yang terkenal di Terengganu mencetak batik Terengganu asli iaitu Nor Arfa Batik.

Tuesday, August 24, 2010

Kain Songket Warisan Asli




Kain Songket

Salam semua...
Kali ini saya ingin berkongsi maklumat dengan pembaca semua tentang kain songket. Kain songket amat sinonim dengan rakyat Terengganu. Ianya bukan sahaja dipakai dalam majlis- majlis rasmi atau perkahwinan malah sekarang ini telah dipelbagaikan untuk dijadikan produk- produk yang lebih kreatif untuk di pasarkan. Masih terpahat di memori kita pejuang songket Malaysia iaitu Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang berusaha memartabatkan industri songket Malaysia ke persada fesyen tanah air dan antarabangsa.

Baju Songket

Pakaian Songket di Raja

Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit benang sutera, emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas, perak dan sutera. Dari segi sejarah, ia hanya dipakai golongan bangsawan iaitu keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau. Songket punya nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. Selain mengangkat martabat si pemakai, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Songket yang ditenun menggunakan tangan sangat halus corak dan mempunyai kualiti  yang tinggi. Sebelum menenun, benang yang akan digunakan itu perlu melalui beberapa proses.
Alat tenunan songket
Produk berasaskan kain Songket :


Kulit Diari 

Kotak yang direka menggunakan kain songket
Jika berminat untuk menempah barang- barang hasil rekaan di atas, boleh menghubungi Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu.



Monday, August 23, 2010

Kraftangan : Anyaman






Salam semua...
Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang seni kraf yang memerlukan penelitian yang terperinci dah kelembutan tangan si pembuatnya bagi menghasilkan produk yang berkualiti. Di Terengganu produk kraf dari anyaman sangat terkenal dengan kehalusan rekaan corak yang menarik. Anyaman ialah proses menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan-bahan tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan, mengkuang, jut, kercut dan sebagainya. Bahan ini biasanya mudah dikeringkan dan lembut serta perlu melalui beberapa proses sebelum ianya boleh di anyam.  

Contoh produk anyaman :


Daun Mengkuang yang telah diwarnakan 

Daun Kercut

Daun Mengkuang dan buluh

Daun Mengkuang
Daun Pandan


Jika anda berminat untuk memilikinya boleh di beli di Pasar Besar Kedai Payang dengan harga yang berpatutan

Sunday, August 22, 2010

Kesinambungan Warisan Seni Kraf Terengganu

Aneka kraf yang terkenal di Terengganu
Salam semua.....

Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang seni Kraf yang tersohor di Terengganu yang semakin luput di telan zaman jika tidak diberi perhatian. Sekalung tahniah di ucapkan kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Cawangan Terengganu kerana memelihara kesenian warisan Terengganu sejak dari zaman berzaman.

Terengganu dikatakan di antara negeri yang kaya dengan warisan seni kraf sejak dahulu lagi. Lebih kurang 1000 orang usahawan kraf di Malaysia berasal dari negeri Terengganu. Pelbagai seni kraf yang berkualiti yang dipasarkan dengan harga berpatutan. Kekreatifan rakyat negeri Terengganu menghasilkan seni kraf yang halus mampu mempromosikan negara amnya dan Terengganu khasnya ke pentas dunia suatu hari nanti.

Di Terengganu, kraf boleh dibahagikan kepada lima jenis iaitu :-
  • Ukiran Kayu
  • Songket
  • Anyaman
  • Batik Sarung dan Sutera
  • Tembaga




Friday, August 20, 2010

Bazar Ramadhan Marang

Salam...
Bazar Ramdhan sungguh sinonim dengan bulan puasa. Seluruh negara akan dibanjiri dengan pelbagai jenis kuih- muih dan lauk- pauk yang lazat untuk dijadikan juadah berbuka. Bagi mereka yang sibuk bekerja dan tidak sempat menyediakan juadah berbuka akan berkunjung ke Bazar Ramadhan untuk memilih sahaja mengikut citarasa masing- masing. Tidak ketinggalan juga Bazar Ramadhan yang terdapat di Marang, Terengganu dibanjiri dengan pengunjung- pengunjung setempat yang datang bertandang untuk mencari juadah berbuka. Bazar Ramadhan ini di buka setiap hari bermula pukul 4.00 petang sepanjang bulan Ramadhan. Ia bukan sahaja di kunjungi oleh umat Islam, malah  menjadi tumpuan kaum bukan Islam dan para pelancong asing yang mengambil peluang untuk mencuba masakan tradisional masyarakat Melayu yang unik.

Aneka jenis kuih muih

Aneka jenis kuih muih yang dijual

Thursday, August 19, 2010

Manisan Ori dan Kampung


Salam semua....
Manisan @ nis'san 
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kakak Suri kerana menyambut baik kedatangan kami ke Manis Sokmo Enterprise. Hari ini saya ingin berkongsi dan membawa pembaca ke pusat perusahaan manisan atau lebih dikenali dengan nama nis'san di kalangan rakyat Terengganu. Hari ini saya telah berkunjung ke tempat pembuatan manisan yang terkenal di Terengganu yang terletak di Kg Batangan Seberang Marang. Selain daripada manisan @ nis'san, terdapat produk lain juga yang diusahakan oleh kak Suri iaitu dodol daun palas dan manisan kelapa pulut. 

Manis Sokmo Enterprise merupakan syarikat IKS yang dimiliki oleh Puan Suri Binti Abdul Ghani. Menurut beliau, perusahaan ini diwarisi dari keluarganya sejak dari dulu lagi secara kecil- kecilan. Kini kak Suri cuba mengembangkan perniagaanya di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu. Terdapat dua jenis manisan yang dihasilkan di sini iaitu manisan asli dan manisan kampung Bukan senang untuk menghasilkan sekeping manisan, saya ingin membawa anda semua melihat pemprosesan manisan di Manis Sokmo Enterprise.

Adunan manisan di atas dapur

Bahan utama yang diperlukan untuk menghasilkan manisan @ ni'san untuk satu kawah di atas ialah  90% gula pasir (satu beg 50 kg) dan 10% air nira kelapa dan air. Langkah pertama untuk membuat manisan @ nis'san iaitu dengan memasukkan campuran tadi ke dalam kawah dan dimasak selama satu jam.

Acuan Gelung

Sementara menunggu adunan tadi masak, acuan gelung yang diperbuat daripada daun mengkuang pandan ini di susun di atas meja untuk memudahkan kerja- kerja menuang manisan yang panas kerana ianya perlu dibuat dengan pantas supaya tidak beku.

Adunan dipindahkan ke kuali untuk dimasukkan ke dalam acuan
Adunan ini perlu dikacau sentiasa kerana jika dibiarkan akan membeku dan sukar untuk dimasukkan ke dalam acuan.




Pewarna di tambah ke dalam adunan
Memasukkan manisan panas ke dalam acuan
Selepas satu jam, adunan tadi di pindah masuk ke dalam kuali lain yang berhapiran dengan acuan gelung supaya senang untuk dimasukkan ke dalam acuan. Sebelum adunan tadi di tuan ke dalam acuan gelung ianya perlu ditambah dengan sedikit pewarna yang berasal dari bahan yang sama tetapi warnanya lebih gelap sedikit. Setelah bahan ini sebati maka iainya akan dituangkan ke dalam acuan gelung yang telah disediakan tadi.

Thursday, August 12, 2010

Puteri Rantau Abang Kembali Lagi....


 Puteri Rantau Abang kembali mendarat selepas 32 tahun menghilang"  tajuk utama yang terpampang di dada akhbar yang menggegarkan penduduk setempat. Penyu belimbing dikatakan  telah kembali ke darat setelah 32 tahun meninggalkan pantai Rantau Abang. Penyu belimbing ini telah dilepaskan di bawah program penetasan bagi tujuan pemuliharaan yang dipantau oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) pada tahun 1978 kembali mendarat buat pertama kalinya untuk bertelur di pantai Rantau Abang. Pelancong dan penduduk setempat yang turut teruja dan tidak melepas peluang menyaksikan upacara pemasangan peranti satelit oleh Institut Penyelidikan  Perikanan untuk mendapatkan  maklumat saintifik mengenai laluan penjelajahan penyu itu, kawasan pemakanan dan permainannya serta merekod suasana ekologi. Pada musim pendaratan tahun ini, difahamkan 3 ekor ibu penyu telah mendarat di pantai ini bertelur sebanyak 500 biji dan dieram di bawah Pusat Penetasan Rantau Abang dan kemudiannya dilepaskan ke laut. Bagi sesiapa yang berminat untuk melihat sendiri penyu bertelur boleh berkunjung ke Pantai Rantau Abang dalam bulan Mei sehingga Ogos setiap tahun.

Isu Pembuangan bayi : Hukuman berat dikenakan

Salam....

Hari ini saya ingin berkongsi pendapat tentang isu pembuangan bayi yang semakin menular di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Sungguh menyayat hati apabila melihat mayat seorang bayi yang ditemui mati dibuang dalam lubang kumbahan najis. Dimanakan perasaan si pelaku yang sanggup melakukan perkara tersebut tanpa sedikit belas kasihan di hati. Saya menyokong penuh langkah yang diambil oleh pihak kerajaan mengenakan tindakan yang lebih keras terhadap mereka yang terlibat. Paparan akhbar hari ini menunjukkan pihak kerajaan memandang serius mengekang gejala yang tidak bermoral:

" KUALA LUMPUR 12 Ogos – Kabinet mengarahkan supaya mana-mana individu yang terlibat dalam kes pembuangan bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membunuh atau percubaan bunuh. Arahan itu meminta polis supaya menyiasat sesiapa yang membuang bayi sehingga menyebabkan kematian bayi di bawah Seksyen 302 kanun tersebut yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. Selain itu, mereka juga boleh didakwa atas kesalahan percubaan membunuh atau menyebabkan kematian di bawah kanun yang sama. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, penguatkuasaan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri semalam. Menurutnya, penguatkuasaan mengikut seksyen tersebut membuktikan kerajaan serius mengekang gejala pembuangan bayi daripada berleluasa. "Saya telah berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan penyiasatan kes pembunuhan bayi mengikut Kanun Keseksaan. “Kementerian juga akan menerima pakai penukaran perkataan ‘buang bayi’ kepada ‘pembunuhan bayi’. Ini amaran keras bahawa bayi bukannya dilahirkan untuk dibunuh sesuka hati,” katanya." ~ petikan akhbar utusan 13 Ogos 2010.

Petikan akhbar di atas memerlukan kerjasama dari semua pihak berganding bahu dalam menangani isu yang tidak bermoral ini. Pihak kerajaan, para guru, ibu bapa, rakan sebaya perlulah bekerjasama berganding bahu membanteras gejala yang tidak sihat ini.  Saya percaya jika semua orang memainkan peranan masing- masing pasti isu ini dapat dikurangkan secara efektif. Saya mencadangkan agar pihak kerajaan memperbanyakkan lagi program-program sosial berunsurkan keagamaan yang melibatkan golongan remaja untuk memberi pendedahan kepada meraka. Begitu juga dengan para ibu bapa hendaklah sentiasa mengawasi pergaulan anak- anak meraka dan dengan siapa meraka berkawan. Saya berharap dengan tindakan keras yang diambil oleh pihak kerajaan membuka mata- mata golongan terlibat berfikir dua kali sebelum melakukannya.



Wednesday, August 11, 2010

Jom terokai Hutan Lipur Chemerung





Hutan Lipur Chemerung terletak di Hulu Dungun iaitu kira- kira 30 minit dari Kg. Raja dan  lebih kurang dalam 32 km masuk ke dalam dari lebuhraya Jerangar- Jabur.  Boleh datang dengan menggunakan kenderaan sendiri ataupun terdapat agen- agen  yang akan membawa anda ke sini. Pengalaman mengembara di dalam hutan lipur ini sewaktu menjalankan kursus yang dianjurkan amat menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan. Jika anda melalui lebuhraya Jerangar- Jabur ke Kuala Terengganu pasti akan melihat saluran air terjun  dari  puncak yang mengalir kerana difahamkan air terjun ini merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara. Memang sangat teruja apabila melihatnya.

Terdapat laluan pejalan kaki yang disediakan untuk aktivititi pengembaraan. Mengembara di dalam hutan ini sungguh memenatkan sehingga kaki tidak terdaya lagi untuk melangkah, tetapi semangat yang tinggi dan dapat melihat keindahan alam ciptaan Allah yang sangat unik menjadi satu kenangan yang terindah. Hutan ini belum diterokai pelbagai jenis flora dan fauna yang aneh dan boleh dilihat. Suasana yang  sejuk dan mendamaikan kerana dikelilingi pokok- pokok balak yang besar menjadi payung hutan. 

Setelah penat berjalan kami berhenti rehat sebentar  sebuah kolam semulajadi yang jernih airnya terdapat di tengah- tengah hutan lipur ini. Perut sudah lapar dan kami semua berkelah di sini sebelum menyambung perjalanan. Ada diantara kami yang sempat mandi kerana teruja melihat kejernihan air bewarna kehijauan apabila dipantulkan oleh cahaya matahari. Bagi sesiapa yang menggemari aktiviti lasak bolehla berkunjung ke sini kerana terdapat alur- alur sungai kecil yang boleh direntasi dengan menggunakan tali. Deruan air terjun jelas kedengaran menghempas batu menenangkan fikiran. Jika ingin tahu dengan lebih lanjut datangla ke Hutan Lipur Cemerung untuk menghayati sendiri pengembaraan ini.